ISU MEMBACA DAN MASYARAKAT

Isu membaca tidak pernah lapuk untuk diperkatakan. Biarpun masyarakat kita
mengalami arus perubahan dalam dunia globalisasi, serta bergelumang dengan dunia
teknologi maklumat dan perkomputeran, namun hakikat kepentingan membaca tidak
boleh diabaikan (Mohamad Sofee 2007). Hanya dengan membaca, negara dapat
melahirkan generasi yang berilmu dan berwawasan. Masyarakat membaca juga
menjadikan ilmu sebagai landasan hidup. Oleh yang demikian, masyarakat membaca
sangat cintakan bahan-bahan ilmu, khususnya buku, jurnal dan majalah yang
menyalurkan ilmu dan menyuburkan hikmah.
Masalah membaca juga dapat menjejaskan prestasi pencapaian murid dalam
semua mata pelajaran. Menurut Mahzan (2003) dan Yahya (2008), kajian berkaitan
proses membaca penting dilakukan untuk membantu murid menambahkan khazanah
ilmu. Penyelidikan berkaitan dengan aspek membaca mencerminkan wujudnya
kesedaran untuk menjadikan amalan membaca sebagai budaya ilmu yang perlu
dikekalkan. Dalam pendidikan bahasa Melayu di Malaysia, penekanan terhadap proses
membaca telah diberikan perhatian, terutama melalui penetapan kemahiran bahasa
yang perlu dicapai seperti yang terkandung dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa
Melayu sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun sekolah menengah
(Kementerian Pendidikan Malaysia 2000). Justeru, masalah membaca memberi kesan
terhadap keupayaan murid-murid untuk mencapai keputusan yang lebih baik dalam
semua mata pelajaran, termasuk mata pelajaran Bahasa Melayu.